Keputusan solat jemaah diputuskan minggu ini.
TANAH MERAH, 11 MEI: Keputusan sama ada untuk membenarkan umat Islam menunaikan solat di masjid akan diketahui minggu ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau berkata Mesyuarat Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang diadakan Jumaat lepas telah mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), pakar perubatan, cendekiawan agama, mufti dan exco agama negeri berhubung perkara itu.
“Kita telah membuat kesimpulan bahawa ada pendekatan tertentu yang boleh kita laksanakan, namun untuk mengumumkannya saya tidak mempunyai kuasa itu berikutan ia terpaksa melalui proses yang lain…kesimpulan dan tatacara operasi piawai (SOP) sudah ada.
“Perkara ini perlu melalui mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dibawa ke Kabinet untuk diperhalusi sebelum dibawa kepada pihak berkuasa agama negeri dan Majlis Raja-Raja,” katanya kepada pemberita pada program Musa’adah Covid-19 di Kampung Bukit Tebu, di sini, hari ini.
Pada program itu, beliau menyampaikan bantuan barangan keperluan asas makanan kepada 45 golongan asnaf.
Ahmad Marzuk berkata sehingga kini, pihaknya masih lagi menunggu keputusan Kabinet bagi dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.
“Masa terdekat kita akan mendapat keputusan Kabinet dan menjangkakan minggu ini akan ada pengumuman daripada Perdana Menteri yang kita sedia maklum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga Jun dan akan melibatkan Ramadan, solat Jumaat dan sebagainya,” katanya.
– BERNAMA