Raya rentas daerah sahaja dibenarkan-PM
Perdana Menteri hari ini, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020. Menurut beliau, hasil pelaksanaan PKPB ini hanya dapat dilihat dalam tempoh beberapa minggu lagi. Sekiranya terdapat peningkatan kes, kemungkinan besar, PKPB akan diteruskan.
“Walau pun PKPB yang telah dilaksanakan menampakkan keberkesanan dan berjalan lancar, namun usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. Rata-rata rakyat mahu kerajaan mengambil langkah yang wajar.
“Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), saya mengumumkan PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020. Ini bermakna semua peraturan dan SOP yang diumumkan dalam tempoh PKPB masih kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun. Sebarang pembaharuan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Walau bagaimana pun, beliau turut menegaskan, larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh tersebut. “Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.
“Saya hendak mengingatkan kepada semua, larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh ini. Ini bermakna…mintak maaf banyak-banyak, demi menjaga keselamatan kita semua, perjalanan balik kampung tidak dibenarkan. Saya tahu ramai yang agak sedih tak dapat balik berhari raya bersama keluarga, bersabarlah. Bila keadaan dah pulih, saudara sudara boleh balik ke kampung berjumpa keluarga dan sanak saudara,”ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, orang ramai masih boleh menyambut Aidilfitri, Pesta Keamatan atau Hari Gawai, ziarah-menziarahi dibenarkan untuk jiran terdekat, dan keluarga yg tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang. Namun harus mengikut SOP yang ditetapkan seperti sebelum ini termasuk penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta mementingkan kebersihan.